NOVEMBER 2022

Sarawak Peruntuk RM8 Juta Tingkat Penyelidikan


KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM8 juta kepada Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) bagi menjalankan pelbagai program penyelidikan dan pembangunan insan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, 

ia akan membolehkan SIDC beroperasi pada Disember 2024.

Ia turut mewujudkan peluang kepada sainstis Sarawak untuk memberi sumbangan kepada pembangunan industri bioperubatan di negeri ini apabila pulang nanti, katanya.

“Lebih penting lagi, ia bagi menjamin Sarawak bersedia untuk berhadapan dengan pandemik pada masa depan dan menangani penyakit berjangkit di luar negara dan dalam negeri,” katanya merasmikan Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC Pertama di sini.

Abang Johari menegaskan, pembangunan bakat dan inovasi adalah kunci kepada pencapaian dan aspirasi Sarawak mencapai kecemerlangan dalam pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.

Justeru, katanya, Sarawak harus meningkatkan bidang penyelidikan dengan program pembangunan sama ada dalam negeri ini sendiri atau peringkat global.

Beliau menegaskan, Sarawak perlu cepat mewujudkan bidang baik untuk perkembangan kesihatan, kemampanan dan penyelidikan berkelas dunia dan pembangunan ekosistem bagi Sarawak.

“Adalah penting ilmu pengetahuan yang kita peroleh, inovasi dan teknologi yang dibangun menjurus kepada usaha meningkatkan gaya hidup dan ekonomi rakyat,” katanya.

Melalui program outreach, Sarawak boleh menggalakkan pemindahan ilmu pengetahuan dan teknologi yang kemudian memberi sumbangan kepada usaha mencapai pembangunan mampan.

Sejak dua tahun lalu, katanya, Sarawak memberi sokongan kepada bidang penyelidikan kepada universiti dan agensi penyelidikan Sarawak di samping mengukuhkan bidang kerjasama dengan rantaian antarabangsa dan tempatan.

Sejumlah RM13 juta telah diperuntukkan kepada agensi penyelidikan, universiti di Sarawak untuk meningkatkan penyelidikan inovasi dengan matlamat melahir bakat dan hasil yang boleh dikomersialkan.

Sumber dari : Jiwa Bakti